Sunday, 5 May 2019

Angan-angan Jadi Realiti - Projek Lavender

Dari kecil saya memang amat suka membaca. Novel, majalah, suratkhabar...semua saya baca. Dah semacam satu ketagihan dah.

Menginjak usia remaja, novel menjadi bahan bacaan utama saya. Pada masa tu tulisan Ahadiat Akashah memang nombor 1 di hati. Kagum dengan penulisannya yang berjaya menambat hati. Saya mulai ada keinginan untuk menulis. Manalah tahu nanti boleh bertemu penulis pujaan hati saya tu. Hehehe. Maka, angan-angan menjadi penulis mulai berputik. Makin lama makin kuat.

Masuk tingkatan 4, Bahasa Melayu memang subjek yang saya nanti-nantikan selain dari Matematik dan Lukisan Kejuruteraan. Bila kena tulis karangan, rasa seronok ya amat. Mencurah-curah idea. Tak kisahlah kalau cerita saya tak best pada pandangan orang lain. Yang saya tahu saya seronok. Saya lega bila dapat menulis.

Masa di Shah Alam, angan-angan tu pudar. Entahlah kenapa. Tapi, keinginan untuk memiliki buku sendiri tu kuat semula pada tahun 2011. Ya, mungkin pada masa tu pelbagai ujian besar datang menimpa. Satu-persatu. Memang bertimpa-timpa hingga saya rasa tak tertanggung. Jadi, saya perlu satu cara untuk melepaskan tekanan tu.

Saya mula mengenali Prof. Kamil (Muhd Kamil Ibrahim) melalui buku beliau Bersyukur Saat Diuji. Saya mulai mengumpul buku-buku Prof. Kamil dan isteri beliau, Puan Roza roslan. Sejak itu, angan-angan yang pudar tu mekar kembali.

Mengambil kesempatan adanya Facebook, saya mula follow dan berkawan dengan mereka yang terlibat dalam bidang penulisan pada tahun 2016. Hinggalah tiba suatu hari, saya terlihat iklan pencarian manuskrip oleh Doktor Noor Hayati Yasmin (Dua Penulis PLT)

Tema yang dikehendaki ialah KANSER. Agak berat. Tapi, memandangkan saya ada menyimpan kenangan tentang arwah kakak ipar yang tewas dengan kanser, menyebabkan saya cuba-cuba menulis dan hantar penyertaan.

Alhamdulillah, 1 Januari 2018 saya terima satu e-mail menyatakan bahawa karya saya terpilih untuk diterbitkan. Happy? Dah tentu! Umpama mimpi jadi realiti. Saya tak sangkan angan-angan ketika usia 15 tahun menjadi realiti di ketika usia saya 38 tahun. Syukur atas nikmat dan rezeki tak terduga yang Allah beri. Satu perasaan yang sukar digambarkan bila melihat buku sendiri terpamer di rak buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018.

Dan, syukur sekali lagi. Buku pertama saya, Projek Lavender telah dianugerahkan Buku Umum Terbaik(Kategori Inspirasi) sempena Anugerah Buku Negara 2019. Walaupun ia adalah buku yang ditulis secara berjemaah(22 orang penulis), ia adalah nikmat yang perlu disyukuri. Saya anggap ia adalah pencetus semangat untuk saya terus melangkah dalam dunia penulisan ini. Semoga saya diredhai dan dibantu Allah dalam setiap urusan. InsyaAllah.


Projek Lavender diterbitkan pada tahun 2018 oleh Dua Penulis PLT.

No comments:

Post a Comment